Tuesday, April 13, 2010

ٍٍSyair Qis b. Saidah

Suatu petang selepas menunaikan solat Asar sementara menunggu masuknya waktu solat Maghrib, Nabi S.A.W, berbual dengan Abu Bakar as-Sidiq.



“Saya teringat seorang penyair bernama Qus / Qis bin Saidah. Pada suatu hari, dia menunggang unta berwarna kelabu di pasar Ukaz, Mekah. Dia membacakan syairnya di hadapan orang ramai. Akan tetapi saya sudah lupa syair yang telah dibacakannya,”kata Nabi Muhammad S.A.W kepada Abu Bakar as-Sidiq.



“Wahai Rasulullah, pada hari itu saya juga berada di pasar Ukaz dan saya masih ingat syair yang di baca olehnya,”kata Abu Bakar as-Sidiq. Kemudian dia membacakan syair tersebut. Syair tersebut berbunyi :



" Wahai sekalian manusia, dengarkanlah apa yang akan aku ucapkan. Sekiranya kamu menghafalnya, maka kamu akan mendapat faedahnya. Sesungguhnya orang yang hidup akan mati dan setiap yang mati akan binasa. Sesungguhnya akan dating perkhabaran dari langit. Aku bersumpah, sesungguhnya ada agama yang kamu anuti. Aku melihat mereka yang sudah pergi namun tidak pernah kembali. Apakah mereka aman berada di sana ataupun ditinggalkan buat selama-lama?”



Selepas selesai membacakan syair, Nabi Muhammad S.A.W membenarkan apa yang dikatakan oleh Abu Bakar as-Sidiq itu.



Sesungguhnya segala benda hidup di atas muka bumi ini akan musnah. Tiada yang kekal melainkan penciptanya, Allah S.W.T. Yang hidup akan mati. Dan yang sudah pergi (mati) tidak akan kembali lagi. Dia tidak akan kembali pulang kepada keluarga dan sanak saudaranya untuk menceritakan keadaanya semasa di sana (alam kubur). Jadi, tiada siapa yang mengetahui bagaimana kehidupan dan keadaan alam barzakh. Hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

No comments:

Post a Comment